CYBERJAYA — Penerimaan rakyat Malaysia terhadap vaksin Influenza A (H1N1) masih tidak memberangsangkan walaupun ia boleh diperolehi secara percuma di klinik dan hospital kerajaan seluruh negara, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, senario itu tidak seharusnya berlaku memandangkan wabak berkenaan masih menular dalam negara dan orang ramai, khususnya golongan yang berisiko tinggi seharusnya mendapatkan vaksin itu dengan segera.
Menurutnya, setakat ini hanya 123,000 rakyat Malaysia termasuk golongan berisiko tinggi yang sudah mendapatkan vaksin ini, dan masih ramai yang tidak mengendahkan seruan kerajaan agar mendapatkan suntikan berkenaan.
"Vaksin ini tidak mempunyai sebarang kesan sampingan yang serius, kecuali sedikit kesakitan di bahagian lengan, sedikit demam atau mungkin juga pening kepala kepada sesetengah orang,” katanya pada satu persidangan media di sini hari ini selepas menyaksikan upacara penganugerahan gelaran Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Lim Malaysia kepada Presiden Pengasas Universiti Kreatif dan Teknologi Lim Kok Wing, Tan Sri Dr Lim Kok Wing di sini. - Bernama
No comments:
Post a Comment